Tuesday 26 March 2013

RAKYAT MISKIN PAS KAYA







PASIR MAS – Seorang warga emas di Kampung Tal Tujoh terpaksa menumpang teduh di bangsal durian sejak enam tahun lalu.

Meskipun menggunakan lilin dan air perigi jiran, Che Mamat Harun, 65, berusaha untuk mencari rezeki halal dengan membersihkan laman rumah dan kebun penduduk dekat sini.

Che Mamat berkata, bangsal yang dibina di atas tanah milik kakaknya ini kini hampir roboh dan mungkin akan meragut nyawanya.

“Saya pernah dipatuk ular di bahagian dada kerana tidak sedar ia melingkar di bantal dan tilam. Umur saya masih panjang apabila pihak doktor dapat menyelamatkan nyawa saya, namun ia sedikit sebanyak mempengaruhi kerja saya kerana ada ketikanya merasa sakit,” katanya, semalam.

Menurutnya, kemiskinan juga menyebabkan dia terpaksa meminta simpati penduduk setiap kali masuk waktu makan.

Katanya, kelengkapan memasak yang ditinggalkan di luar bangsal sering dicuri menyebabkan dia dapat memasak di rumah.

“Saya tidak mampu untuk mendapatkan pendapatan tetap apatah lagi membina rumah yang lebih selamat,” katanya.

Sebelum ini, dia bekerja di ladang kelapa sawit di Perak dan pernah memohon bantuan kebajikan, namun ditolak atas alasan bukan penduduk tetap negeri terbabit.

Disebabkan itu katanya, dia kembali ke kampung bagi mengurang tekanan hidup namun menghadapi masalah yang sama setelah berpindah ke sini, pada 2006 lalu.


- Sinar Harian